CHUPING, PERLIS – Keheningan petang di kariah Felda Chuping pada Khamis, 29 Januari 2026, bertukar menjadi suasana penuh ukhuwah apabila institusi diraja, tokoh akademik, dan aktivis kepanduan bersatu dalam misi kemanusiaan. Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. Saidul Amin, M.A., menyertai program MAIPs Peduli Bil. 11/2026 yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Program yang berpusat di Masjid Nurul Huda Felda Chuping ini turut menampilkan dimensi antarabangsa dengan kehadiran Sheikh Mohammad Al-Naqwi, Ketua Sektor Asia Timur daripada Persatuan Amal Joud, Kuwait. Kehadiran beliau bersama pengurusan UMAM mencerminkan sinergi global dalam memperkasakan agenda kebajikan ummah di Negeri Perlis.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah penyertaan barisan pengurus Hizbul Wathan (HW) daripada Qobilah Buya Hamka UMAM yang bergandingan bahu bersama perwakilan daripada Kwartir Hizbul Wathan Wilayah Riau, Indonesia. Mengenakan baju T-shirt berwarna hijau, penglibatan kumpulan kepanduan ini bukan sahaja menambah seri program, malah melambangkan semangat kesukarelawanan Muhammadiyah yang tidak mengenal batas sempadan.
Atur cara bermula dengan keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis pada jam 4.50 petang. Sejurus selepas menunaikan solat fardu Asar berjemaah, majlis diteruskan dengan ucapan aluan dan titah diraja sebelum pengagihan sumbangan MAIPs Peduli disempurnakan bagi kariah Felda Chuping, Batu Bertangkup, Panggas, dan Kok Klang.
Tepat jam 5.30 petang, sesi kayuhan bermula. Dr. Saidul Amin bersama rombongan Hizbul Wathan mengiringi baginda Tuanku Raja Muda mengayuh basikal menyantuni penduduk setempat. Dalam kehangatan cahaya matahari petang, rombongan berhenti di tiga kediaman asnaf yang telah dikenal pasti untuk menyampaikan bantuan secara langsung serta memberi kata-kata semangat kepada mereka yang sedang diuji.
Bagi Dr. Saidul Amin, program ini adalah satu wadah dakwah sosiologis yang sangat berkesan.
“UMAM sangat berbesar hati kerana dapat turun ke padang bersama DYTM Raja Muda Perlis. Kehadiran pengurus HW Qobilah Buya Hamka dan saudara kita dari Kwartir HW Wilayah Riau petang ini adalah manifestasi nyata bahawa kepanduan Hizbul Wathan sentiasa bersiap sedia untuk berkhidmat dan menyantuni rakyat dalam apa jua keadaan,” ujar beliau dengan penuh semangat.
Kayuhan ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi ia adalah simbolik kepada kebersamaan antara pemimpin, ilmuwan, dan rakyat. Program berakhir dengan penuh harmoni sekitar jam 7.00 petang, meninggalkan jejak kebaikan yang akan sentiasa dikenang oleh warga kariah Felda Chuping dan sekitarnya.
Hadirnya UMAM dalam kancah kemanusiaan ini sekali lagi membuktikan komitmen universiti tersebut untuk menjadi pusat kecemerlangan intelektual yang sentiasa bertapak di bumi kenyataan.











Discussion about this post